Dalam perjalanan pulang ke Penang,saya mendengar motivasi pagi yang di sampaikan oleh pakar Motivasi terkenal iaitu Dr.Fadzilah kamsah,mengenai SERONOK.
Seronok harus dimiliki oleh setiap individu tanpa mengira usia.Seronok,gembira,menyenangkan atau seumpamanya membawa makna yang berkaitan hati dan perasaan.Jika kita rasa seronok,apapun yang dilakukan pasti menjadi ringan dan mudah.
Keseronokan juga akan menyebabkan pekerjaan yang dilakukan menjadi lebih ikhlas selagi apa yang kita buat itu tidak melampaui atau terkeluar dari batas-batas agama dan kemanusiaan.
Contohnya pekerjaan yang sedang kita lakukan iaitu sebagai surirumah.Apabila kita melakukannya dengan seronok,kita akan rasa mudah dan tidak memenatkan.Kita akan merasakan hari berlalu dengan indah dan pantas sekali.Tetapi kalau pekerjaan itu tidak menyeronokkan ia akan menyebabkan kita jemu atau bosan dan cepat keletihan.
Seronok juga akan menyebabkan 'mood' kita akan sentiasa baik.kita mampu mengendali perasaan dengan tenang biarpun ketika kita sedang menghadapi masalah.Rasa seronok adalah sesuatu yang positif sehingga boleh mempamerkan wajah yang ceria dan gembira.Kesannya adalah besar,kerana orang disekeliling kita juga akan merasa senang untuk berdamping dan berurusan dengan kita.Berbanding dengan mereka yang sentiasa berasa resah,marah dan tertekan.
Orang yang sentiasa gembira dan seronok juga mampu mengekalkan awet muda dan dikatakan lebih panjang umur berbanding mereka yang sebaliknya.Seronok bukan hanya untuk yang muda sahaja.Orang tua juga boleh berseronok seperti berseronok dengan apa yang dilakukan.Contohnya seronok melayan kerenah cucu atau berkumpul dan berbual dengan rakan sebaya,dan ada berbagai -bagai lagi cara lagi untuk mewujudkan keseronokan.
Menyemai rasa seronok sama seperti memulihkan kesihatan rohani.Ia umpama terapi jiwa.Jiwa yang seronok akan memandang kehidupan ini dengan lebih indah dan tenang.Mampu melihat jauh kehadapan dengan fikiran yang lebih terbuka.Jiwa yang sihat juga akan bersedia menerima teguran dengan dada yang lapang dan fikiran yang positif.
Dengan itu,amalkan terapi jiwa ini kerana hanya diri anda yang mampu mengubah perasaan yang ada di jiwa anda.Ikhlaskan diri anda positifkan pemikiran anda.
ANDA ADALAH APA YANG ANDA FIKIRKAN.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan