Isnin, 7 September 2009

NUZUL QURAN

Pada 17 Ramadan 2009M ini, umat Islam memperingati ulangtahun ke 1399 Malam Nuzul Quran yang berlaku pada 610M. Nuzul Al-Quran adalah salah satu rahmat Allah swt yang terbesar buat umat manusia sejagat. Ia mempunyai ingatan dan pengajaran yang besar kepada kita pada hari ini, bahkan kepada kesemua bani insan hingga ke Hari Kiamat.Nuzul Quran bererti “Penurunan Al-Quran” oleh Allah swt kepada Nabi Muhammad saw melalui Jibril pada malam 17 Ramadan tahun 610M di Gua Hirak, di puncak bukit Jabal Nur, Makkah Al-Mukarramah. Ketika nabi Muhammad saw sedang mengasingkan diri dari kekufuran dan kemaksiatan kaumnya di Mekah, datang Jibril menyampaikan 5 ayat pertama Surah Al-Alaq (Iqrak, bismirabbaikalladzi khalaq …) sekaligus terlantiklah Nabi Muhammad saw sebagai Rasul Allah yang terakhir dan Nabi Akhir Zaman.

Di antara pengajaran-pengajaran Nuzul Quran ialah :(1) Allah swt memilih para rasulnya di kalangan mereka yang memiliki peribadi yang mulia. Jika kita hendak mewarisi peranan para Anbiya' ini, maka kita juga seharusnya memiliki akhlak yang luhur, keikhlasan yang tinggi dan ketabahan yang tidak berbelah bagi.
(2) Walaupun belum dipilih menjadi Nabi dan Rasul, Nabi Muhammad saw telah dapat menilai keburukan tingkahlaku kaum Quraisy yang telah menjadi adat kebiasaan turun temurun seperti minum arak, zina, membunuh anak, riba, menipu dalam timbangan, menindas orang lain, membezakan manusia berdasarkan warna kulit dan sebagainya.Kesemua ini menyebabkan Baginda saw mengasingkan dirinya di Gua Hirak. Oleh itu di antara pra-syarat utama bagi seorang daie (pendakwah) ialah kebencian hatinya terhadap keruntuhan yang sedang berlaku di dalam masyarakatnya, walaupun ianya telah nampak biasa dan menebal serta menjadi lumrah dalam masyarakat.Jahiliyah hari ini tidak kurang parahnya seperti arak, zina, buang anak, rasuah, kezaliman ke atas orang lain dan sebagainya.
Persoalannya, adakah kesemua ini menyebabkan seseorang itu insaf keadaan tersebut, luluh hatinya mengenangkan nasib umatnya dan bertekad bersungguh-sungguh untuk merubah keadaan tersebut?
Terdapat orang Melayu yang pilih untuk bertapa (mengasingkan diri di dalam gua, hutan, pondok dll) untuk mencontohi Rasulullah saw bertapa di dalam Gua Hirak. Mereka tersilap. Mereka bertapa tidak nampak masyarakat, sedang Nabi saw di Gua Hirak dapat melihat bandar Mekah, bahkan Masjidil Haram dan Kaabah merenung dan berfikir bagaimana untuk mengubah kaumnya.Setelah Nuzul Quran dan mendapat panduan Ilahi dalam berdakwah, Nabi saw berdakwah dan bergelumang dalam masyarakat, tidak naik lagi ke Gua Hirak.

(3) Peranan penting membaca atau “Iqrak” kepada masyarakat Islam dan merubah nasib mereka. Hampir ianya menjadi salah satu ciri umat di Barat yang memimpin dunia hari ini. Adapun di Dunia Islam, minat kepada membaca masih belum melata dan menebal.

(4) Betapa hebat dan kuatnya jiwa Rasulullah saw bukan sahaja menerima ayat-ayat Al-Quran tetapi juga menerima bebanan Dakwah yang terkandung di dalam ayat-ayat tersebut. Baginda saw hanya menggigil ketakutan tetapi tidak binasa jiwanya. Sekiranya pada malam itu Al-Quran diturunkan bukan kepada Baginda saw, tetapi kepada Gua Hirak atau Jabal Nur itu sendiri, nescaya akan pecah bukit tersebut lantaran tidak tertanggung amanah yang diberikan oleh Allah swt.“Kalau Kami turunkan Al-Quran ini ke atas bukit, nescaya engkau akan melihatnya tunduk dan pecah kerana takut kepada Allah. Demikian perumpamaan Kami berikan kepada manusia supaya mereka berfikir” (Al-Quran).Alangkah jauhnya ramai umat Islam zaman kini yang tidak membaca Al-Quran. Jika membacanya, ramai pula yang tidak memahaminya. Jika memahaminya, ramai pula yang tidak takut, tidak kecut, tidak mengigil kerana takut kepada Penurunnya dan kepada amanah-amanah yang terkandung di dalamnya yang mesti dilaksanakan!

(5) Tidak lengkap mengingati malam Nuzul Quran jika tidak menyebut nama Khadijah ra, isteri tersayang Rasulullah saw. Ketika Rasulullah saw mengigil ketakutan, Khadijah ra tenang lagi menenangkan suaminya. “Aku takut akan diriku (akan ditimpa musibah dek jembalang tersebut”, kata Rasulullah saw, ketika menceritakan pertemuannya dengan makhluk yang tidak pernah dilihatnya sebelum ini.“Kalla ! Ma yukhzikallahu abada.” (Sekali-kali tidak! Allah tidak akan membuat sesuatu yang buruk kepada kamu. Sesungguhnya engkau menghubungkan Silaturrahim, menyumbang kepada orang yang tidak mempunyai harta, memikul bebanan (orang yang memerlukan bantuan) … “, tegas Khadijah ra dengan penuh kasih sayang yang yakin akan latarbelakang suaminya yang bersih, tidak mungkin sebersih itu Allah swt akan mendatangkan suatu yang buruk kepada insan yang sebegitu dikenalinya.Rasulullah saw beriman dalam keadaan menggigil dan ketakutan iaitu ketika bertemu dengan Jibril.
Khadijah ra pula beriman dalam keadaan kasih dan yakin iaitu ketika bertemu dengan suaminya, Rasulullah saw. Khadijah bukan sahaja beriman tetapi menTasdiqkan imannya.Dia membenarkan Imannya dengan memberi dorongan kepada Rasulullah saw dalam berdakwah, menghulurkan harta kekayaannya demi kemajuan dan memberi lonjakan kepada Dakwah Islam lebih-lebih lagi di Tahun-tahun Pemboikotan yang zalim. Oleh itu Jibril telah memaklumkan kepada Rasulullah saw bahawa satu rumah di Syurga telah dibina untuk Khadijah ra.Nabi saw pula bersabda bermaksud, ‘Demi Allah! Allah belum pernah menggantikan untuk aku isteri yang lebih baik dari Khadijah.
Dia beriman kepada aku ketika manusia lain mengkufuri aku. Dia membenarkan aku ketika manusia lain membohongi aku dan tidak mempercayai risalah yang aku bawa. Dia memberi aku akan harta-hartanya ketika manusia lain mengenakan pemboikotan kepada aku …”.Selama 23 tahun Nabi saw berdakwah yang penuh dengan peperangan dan penekanan, namun hanya tahun kematian Khadijah ra nabi menamakan tahun tersebut ‘Aam Al-Huzn’ (Tahun Sedih).

Di tanah Perkuburan Al-Ma’la. Di belakang tingkap-tingkap hijau adalah kubur isteri pertama Rasulullah saw, Khadijah binti Khuwailid ra dan Asmak binti Abu Bakar ra. “Itulah umat yang terdahulu. Bagi mereka (pahala) terhadap prestasi mereka, dan bagi kamu adalah prestasi kamu” (Al-Quran).Ya Allah ! Kurniakanlah kepada kami isteri-isteri seperti Khadijah ra yang mendokong Rasulullah saw sejak malam Nuzul Quran sehingga ke Tahun Kesedihan.
(6) Penurunan Wahyu dan berhubungnya Langit dengan bumi melalui perantaraan Wahyu adalah suatu nikmat yang hanya dirasai oleh para Sahabat ra dan mereka yang memahami Al-Quran dan merasai kemanisannya.Ummu Aiman adalah seorang sahabiah yang hidup panjang di zaman Nabi saw dan Khulafa' Rasyidin. Di zaman Khulafa' Rasyidin, pada suatu hari para Sahabat ra melihat beliau menangis, lalu berkata, “Kenapa menangis wahai Ummu Aiman, bukankah Rasulullah saw kini berada di tempat yang lebih baik?”Ummu Aiman ra menjawab, “Saya mengetahui bahawa Rasulullah saw kini berada di tempat yang lebih baik, tetapi yang menyebabkan saya menangis ialah kerana Wahyu kini telah terputus (tidak seperti di zaman Nabi saw masih hidup). Apakah nikmat yang lebih hebat dari menerima kalam Allah swt yang turun dari langit, menerang dan membimbing, menegur dan memberi amaran, mendidik dan menguatkan jiwa hingga mereka menjadi Khaira Ummah Ukhrijat linnas (Umat yang terbaik yang pernah dikeluarkan untuk manusia).

Tiada kesejahteraan dan kejayaan bagi masyarakat dunia dulu, kini dan akan datang melainkan hidup berpandukan Al-Quran yang diturunkan oleh Tuhan Maha Pencipta lagi Maha Bijaksana. Itu adalah keyakinan orang-orang yang beriman. Bahkan itu adalah kesimpulan orang-orang yang berpengalaman melihat dan mengamati kesudahan mereka yang engkar dan membelakangi undang-undang Al-Quran samada di kalangan orang-orang kafir atau mereka yang mengaku Islam.“Berjalanlah kamu di muka bumi dan lihatlah kesudahan orang-orang yang mendustakan (Al-Quran) …” (Al-Quran).

Tiada ulasan:

Catat Ulasan